Panas Baran
Panas baran @ ‘ kepala angin ‘ @ ‘
naik hantu ‘ yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah menyebabkan
seseorang itu hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil
boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh
memusnahkan apa saja.
Adakah sikap panas baran ini
berpunca daripada tahap perkembangan didikan daripada ibu- bapa di rumah?
Panas baran wujud disebabkan
kegagalan seseorang itu mengawal emosinya ketika emosinya itu terganggu.
Biasanya wujud faktor-faktor yang menjadi pencetus atau dipanggil pemicu
(trigger) kepada timbulnya perasaan marah ini. Faktor yang menjadi penyebab
perasaan marah itu berbeza-beza bagi setiap orang dan ia bergantung kepada
faktor sekeliling , pengalaman dan sejarah seseorang itu dibesarkan. Keadaan
sekitar dan rasa dikecewakan menyebabkan timbulnya perasaan marah yang
mengakibatkan individu itu dikategorikan sebagai panas baran.
Adakah semua orang memiliki sifat
panas baran?
Sifat pemarah adalah suatu emosi
manusia normal. Namun ia bergantung kepada setiap individu yang menterjemahkan
rasa marah masing-masing.
Adakah faktor jantina dan keturunan
mempengaruhi?
Ada suatu pandangan yang menganggap
faktor genetik iaitu baka keturunan turut mempengaruhi sifat mudah marah dan
memberontak. Ada juga pandangan yang mengatakan panas baran dikaitkan dengan
faktor perkembangan kanak-kanak dari kecil lagi seperti mudah resah dan marah.
Mengenai faktor jantina, itu tidak pasti tetapi mungkin faktor budaya
menjadikan lelaki lebih mudah meluahkan rasa marah.
Berikut adalah antara faktor yang
menjadi punca timbulnya sikap panas baran itu .
- Seorang itu dibesarkan oleh ibu atau bapa yang kuat marah. Kesannya sikap marah ini dipelajari olehnya sejak kecil dan mula diwarisi.
- Mengikut pengalamannnya, apabila dia marah maka dia memperolehi apa yang dihajatnya atau orang lain akan tunduk dan ikut kata-katanya. Ganjaran sebegini membuatkan minda bawah sedarnya percaya bahawa dengan panas baran maka matlamatnya boleh tercapai. Tanpa disedari ia menjadi satu habit yang sukar untuk di buang.
- Panas baran adalah satu sikap mazmumah yang ada dalam diri dan merupakan pintu masuk syaitan. Apabila dituruti perasaan baran ini seseorang itu boleh menyesali setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukannya ketika dibawah perasaan negatif ini.
- Disebabkan oleh sifat ego yang terlalu tinggi dan merasakan bahawa dirinya sahaja yang betul berbanding dengan orang lain.
- Apabila cakapnya tidak didengar atau nasihat tidak diendahkan, sedangkan padanya apa yang disampaikannya itu penting.
- Apabila dirasakan haknya diambil, dirampas atau dicabul.
- Apabila seseorang itu merasakan kuasa dan kedudukannya tidak dihormati dan setiap arahan yang diberikan tidak dipatuhi dan dilaksanakan.
- Faktor usia yang muda juga ada kaitannya dengan panas baran. Usia yang muda juga biasanya bermakna kurang pengalaman hidup iaitu sukar membuat pertimbangan, kurang peka terhadap perasaan orang lain dan mudah ikut hati dan perasaan.
- Yang dikatakan panas baran itu adalah apabila seseorang itu mudah rasa marah dan berulang kali pula melakukan perkara tersebut. Kadang kala perkara kecil juga boleh menimbulkan kemarahan pada kadar yang tidak sepatutnya. Tetapi sebaliknya jika marah itu berlaku sesekali dan bertempat, maka itu bukanlah dikatakan panas baran.
Adakah ia berkaitan dengan keturunan
atau penyakit jiwa?
Kalau sekadar marah semua orang
memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau kadar kemarahan itu kerap dan
terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah masalah jiwa yang perlu
dirawat. Ada juga berpunca dari kesan penderaan emosi sewaktu kecilnya lalu
menjadi trauma. Pengalaman negatif ini tertanam dalam minda bawah sedar dan
meletus apabila ada faktor yang seumpama dengan nya berlaku. Malah ada
ketikanya sifat marah yang terpendam ini bertukar menjadi amuk.
Tidak dinafikan masyarakat Melayu
terutamanya wujudnya saka. Saka adalah merujuk kepada jin yang diwarisi oleh
sesuatu keturunan bermula dari nenek moyang kita dahulu hingga kini. Meski pun
generasi hari ini tidak percaya akan wujudnya saka, namun realitinya perjanjian
telahpun di buat antara nenek moyang mereka dengan mahluk halus ini mengikut
perjanjian tertentu. Apabila perjanjian dimungkiri maka anak cuculah yang
menjadi mangsa dan pelbagai masalah yang pelik berlaku. Ini boleh juga menjadi
penyebab terdorongnya rasa baran yang melampau. Sebab itulah sejarah keluarga
perlu dikaji.
Tanda-tanda seseorang itu panas
baran?
Tanda-tanda seseorang itu panas
baran ialah apabila dia dengan mudah hilang kawalan sama ada melalui mimik
muka, perkataan atau dengan tindakan. Ada ketikanya perkara yang dia hilang
kawalan diri merupakan perkara yang kecil dijadikan besar dan kemarahan yang
dilontarkan itu melampaui had maka itu tandanya seseorang itu ada sikap panas
baran.
Kesan buruk panas baran?
Kemarahan yang tidak dapat dikawal
bukan saja menyebabkan individu itu dijauhi orang sekeliling tetapi mereka
sendiri terdedah dengan serangan darah tinggi dan migrain.
Langkah terbaik menangani sifat
panas baran?
Kita boleh cuba memberikah sudut
pandangan positif tanpa sesekali menimbulkan kemarahan. Buat individu panas
baran sendiri, bawalah bertenang dan cuba mengawal perasaan marah daripada
dalam diri dan tarik nafas dan cuba tenangkan diri perlahan-lahan. Kepada
remaja yang mudah memberontak , perlulah belajar untuk menjadi masyarakat yang
bertemadun – mengamalkan sikap bertolak ansur dan boleh hidup secara aman dan
harmoni mewakili temadun itu sendiri.
Punca Panas baran – Perilaku agresif, Gejala Sosial,
Emosi, Masalah kewangan/keluarga, Ego, Tekanan perasaan, Faktor didikan,
Bebanan kerja, Faktor persekitaran.
10 Risiko Individu Panas Baran – Dipulaukan masyarakat sekeliling,
Jiwa kosong (murung), Hilang pekerjaan/Jawatan, Penceraian, Kemalangan,
Pergaduhan, Kesalahan jenayah, Melakukan penderaan, Tekanan perasaan, Penyakit
kronik (darah tinggi, migrain).
Bagaimana tangani sikap panas baran?
Berikut ada beberapa tip untuk
tangani sikap panas baran.
- Panas baran datangnya dari api yang meluap-luap dari dalam. Oleh itu ambillah segelas air sejuk lalu minum.
- Beristighfar dan berselawat banyak-banyak.
- Banyakkan membaca buku-buku motivasi .
- Kenali diri sendiri dan ketahui faktor-faktor yang boleh menjadi pemicu kepada sikap panas baran itu. Cuba untuk berada dalam kawalan setiap kali faktor tersebut wujud.
- Ingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan terhadap orang lain satu hari nanti akan berlaku ke atas diri kita sendiri pula. Ia adalah hukum Karma yang kita tidak dapat lari darinya.
- Sedar apa yang ada dalam kawalan kita dan apa pula yang tidak. Jika sesuatu itu bukan dalam kawalan kita, maka marah tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya ia sekadar membawa penat dan meningkatkan rasa stress yang diakhirnya memudaratkan diri sendiri.
- Jika sikap panas baran itu sukar dikawal maka perlu temui Kunselor atau pakar psikatri sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
- Sentiasa berfikiran positif dan katakan pada diri bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan kebaikannya. Fokus kepada hikmah. Misalnya, jika seseorang itu memotong barisan kenderaan dalam kesesakan trafik, kita katakan pada diri “Oh, orang itu mungkin tergesa-gesa mahu ke tandas” , atau, “Oh, mungkin anaknya sakit dan memerlukan dia sampai cepat dan satu hari aku pun mungkin terpaksa lakukan perkara yang sama jika sudah terpaksa”. Dengan cara ini kita telah berjaya alihkan fokus minda dari tertumpu kepada sesuatu yang boleh mencetuskan perasaan baran.
- Tinggalkan tempat berlakunya kemarahan tersebut dan pergi ke tempat lain. Lagi lama kita berada disitu lagi tertekan rasanya hati. Ketika sudah berada jauh dari situ, tarik nafas dalam-dalam . Otak ketika marah kekurangan oksigen. Oleh itu pejamkan mata lalu tarik nafas perlahan-lahan dalam kiraan 7 dan rasakan udara sejuk masuk melalui hidung . Lepaskan nafas juga melalui hidung dalam kiraan 7. Rasakan udara panas yang melalui rongga hingga dihembus keluar. Katakan pada diri secara positif , “ Kini aku seorang yang sabar dan tenang serta mampu mengawal diri”.
- Mereka yang panas baran perlu banyak riadah sebab badan yang cergas membantu akal untuk mengawal emosi.
- Jaga pemakanan, elakkan dari banyak memakan daging merah. Sebaiknya lebihkan memakan sayur dan buah-buahan.
Apakah bentuk bantuan yang boleh
masyarakat atau orang sekeliling berikan kepada seorang panas baran?.
- Jangan tambah lagi kemarahan seseorang itu hingga boleh membawa kemudaratan kepada dirinya atau orang sekeliling.
- Faham faktor-faktor yang menjadi pemicu baginya dan cuba untuk tidak memulakannya.
- Sabar dengan mereka yang panas baran , cuba bercakap dengannya dalam nada yang perlahan lagi lembut.
- Ajar dia beristighfar dan menarik nafas dalam-dalam.
- Berikan dia segelas air sejuk.
- Usah berada disitu, biarkan dia sendiri buat sementera. Mungkin dia perlukan masa dan ruang untuk kembali rasional.
- Wujudkan kumpulan sokongan yang membolehkan mereka yang mempunyai sikap panas baran ini berkumpul berbincang dan meluahkan isi hati. Ada ketikanya menyedari bahawa masalah ini bukan masalah kita seorang banyak membantu kita untuk menerima hakikat dan berusaha memperbaiki diri.
Oleh;
Khamsiah Mohamad Etli
Pembantu Tadbir (P/O) Kanan
Jbtn Peguam Negara Malaysia,Sarawak
Khamsiah Mohamad Etli
Pembantu Tadbir (P/O) Kanan
Jbtn Peguam Negara Malaysia,Sarawak
No comments:
Post a Comment